Big Gun gabungan sembilan herba

RENTETAN daripada hasil dan kesan yang menggalakkan daripada produk sebelumnya menerusi jenama Kopi Keras International, syarikat Bumiputera yang diusahakan tiga usahawan muda Shairy Hanapiah, Saufy Nizar dan Zulhilmi Daud akhirnya melahirkan produk Big Gun.

Big Gun adalah produk makanan tambahan untuk lelaki keluaran syarikat Wolf World PLT yang diformulasikan dengan menggabungkan sembilan herba dari tujuh negara yang sememangnya terbukti baik untuk kesihatan dalaman lelaki.

Ketua Pegawai Kewangannya, Shairy Hanapiah berkata, pihaknya menghasilkan Big Gun berikutan terlalu banyak lambakan produk berasaskan kopi di dalam pasaran tempatan.

“Bukan itu sahaja, kami juga menyedari ramai pengguna yang agak susah untuk mengambil kopi sebagai makanan tambahan mereka.

“Oleh sebab itu, kami nekad untuk memberi nafas baharu kepada Kopi Keras International ke dalam bentuk tablet kunyahan agar ia mudah dibawa dan senang dimakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, formulasi dan khasiat yang terdapat di dalam Big Gun adalah sama dengan Kopi Keras International tanpa mengubah bahan-bahan asalnya.

Mengulas berhubung pembangunan dan penyelidikan (R&D) produk, Shairy berkata, syarikatnya tidak mengambil masa yang lama kerana formulasinya telah sedia ada.

“Kami hanya mengambil masa antara empat ke lima bulan bagi menghasilkannya di dalam bentuk tablet dengan perisa kopi,” katanya.

Menurutnya, kelebihan produk Big Gun adalah kerana ia mengandungi sembilan herba iaitu Catuaba (Brazil), Guarana (Venezuela), Epimedium (China), Sacha Inchi dan Maca (Peru), Tongkat Ali (Malaysia), Tribulus Terrestris dan Butea Superba (Australia) dan Ashwagandha (India).

Shairy berkata, kesemua herba diimport daripada negara-negara tersebut secara terus kecuali Tongkat Ali.

“Oleh itu, kami mengenakan harga RM150 sebotol bertepatan dengan kualitinya,” katanya yang bermula dengan modal serendah RM50,000.

Tanpa bahan terlarang

Shairy berkata, Big Gun adalah produk lelaki yang menggunakan 100 peratus herba tanpa mengandungi bahan-bahan terlarang seperti dadah.

Oleh itu, katanya, Big Gun tidak akan memberi sebarang kesan kepada kesihatan sebaliknya membetulkan masalah lelaki secara semula jadi.

“Ia akan melancarkan pengedaran darah untuk lelaki, sekali gus menyumbang kepada kesihatan dalaman lelaki,” katanya.

Menurutnya, produk ini tidak akan memberikan kesan yang cepat sebaik mengambilnya, sebaliknya, mengambil masa selama lima hingga tujuh hari untuk melihat hasilnya kepada pengguna.

Katanya, sejak dipasarkan pada awal Januari lalu, pihaknya menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan.

“Setakat ini, produk tidak memberi kesan sampingan lain seperti pening atau panas badan ketika pengambilannya,” katanya.

Big Gun dikilangkan di Nilai, Negeri Sembilan yang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan dikelaskan sebagai makanan (FDI) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Shairy berkata, produk itu juga sesuai digunakan oleh lelaki berusia 30 hingga 60 tahun ke atas.

Keuntungan hingga 200 peratus

Bagi merancakkan lagi jualan Big Gun agar mudah diperoleh oleh pengguna di seluruh negara, Shairy berkata, pihaknya membuka peluang perniagaan sebagai stokis.

“Kami mahu menambah 100 stokis di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang akhir bulan ini.

“Setakat ini, kami hanya mempunyai 20 hingga 30 stokis,” katanya.

Menurutnya, syarikatnya mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat menjadi stokis sama ada kedai jamu mahupun persendirian menghubungi talian 016-5925427 untuk pendaftaran segera.

Katanya, Wolf World PLT menawarkan keuntungan sehingga 200 peratus di samping menyediakan perkhidmatan latihan pemasaran percuma, iklan pemasaran di Facebook dan Google.

“Kami menawarkan modal serendah RM3,000 dengan margin keuntungan bersih RM6,000.

“Bukan itu sahaja, bagi stokis yang mencapai sasaran tertentu, kami juga memberikan hadiah bulanan seperti telefon pintar, wang tunai, jam tangan dan televisyen,” katanya.

Dengan penambahan stokis ini, Shairy berkata, syarikat itu optimis untuk mencapai sasaran jualan RM500 juta sebulan menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, syarikat itu mampu menjual sekitar 5,000 unit sebulan.

Selain jualan menerusi stokis, Wolf World PLT juga aktif menerusi jualan atas talian (online) di Facebook Wolfworldplt.

Mengulas mengenai perancangan jangka panjang syarikat, Shairy berkata, buat masa ini, Wolf World PLT mahu memberi tumpuan kepada pasaran tempatan dahulu.

Pun begitu, katanya, Big Gun mempunyai permintaan di Brunei dan Singapura.

“Kita masih dalam proses perancangan dan berharap akan memasuki pasaran itu pada awal tahun hadapan,” katanya.

Wolf World PLT adalah syarikat tempatan yang beroperasi di Bandar Baru Bangi sejak November 2015 yang telah menghasilkan tujuh jenama merangkumi produk kanak-kanak, lelaki dan wanita.